Kenyataan Media Angkatan Muda keADILan Malaysia
24 Mei 2007
Malaysia kini merupakan antara 29 buah negara iaitu termasuk antara dalam minoriti 17.5 peratus dari negara – negara dalam dunia yang masih mengamalkan cuti bersalin di bawah 12 minggu.
Cuti bersalin yang sewajarnya harus diberikan atas faktor kesihatan ibu dan bayi. Masa yang cukup untuk ibu bersama bayi juga secara psikologinya mampu mengukuhkan institusi keluarga yang memberikan kesan positif kepada pembinaan masyarakat.
Tuntutan cuti bersalin 12 minggu ini bukan baru diutarakan di negara ini. Cadangan cuti bersalin 84 hari adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 102 dan 103 yang menetapkan tempoh cuti bersalin tidak kurang daripada 12 minggu.
23 Mei lepas sekali lagi perkara ini diperkatakan di Dewan Negara, namun jawapan Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Parlimen, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menggambarkan ketidaksediaan kerajaan untuk mengangkat cadangan cuti bersalin yang sewajarnya itu.
Chew mengatakan kementerian masih mengkaji semula cadangan tersebut kerana bimbang kerajaan bimbang cadangan itu kemungkinan akan menjejaskan produktiviti serta menjadi faktor wanita tidak diambil bekerja oleh majikan.
Angkatan Muda Malaysia dengan ini menuntut supaya kerajaan lebih serius dalam mengangkat cadangan seperti ini kerana ia berkaitan martabat wanita, pengukuhan institusi keluarga dan bukan hanya setakat membazirkan jutaan wang hanya untuk iklan retorik seperti ke arah keluarga bahagia tanpa tindakan kukuh dari kerajaan.
Zarerah Hanim Md Zaki
Exco Angkatan Muda keADILan Malaysia
No comments:
Post a Comment